Tuesday, July 09, 2013

Perihal Kelayakan Akademik Menteri & Orang-Orang Besar

1.  Terdengar khabar-khabar angin yang mengatakan ada Menteri dan orang-orang besar tertentu yang diragui kelayakan akademik mereka;

2.  Khabar-khabar ini mengatakan ada Menteri yang sebenarnya tidak melalui proses pembelajaran yang sewajarnya dan juga menduduki peperiksaan yang melayakkan mereka untuk mendapat ijazah pertama, ijazah lanjutan malahan MBA atau pun PhD;

3.  Namun Menteri dan juga sebilangan orang besar lain yang menjawat jawatan awam menayangkan pelbagai ijazah yang diperolehi dengan cara mudah.  Ada yang mendapat dengan cara menghadiri kelas atau kursus yang tidak setimpal dengan ijazah berkenaan dan ada yang membeli terus secara online dan sebagainya;

4.  Tidak salah untuk mereka membeli dan menayangkan ijazah-ijazah itu.  Ini dunia moden dan dunia demokrasi.  Apa sahaja yang kita nak buat, buatlah asalkan tidka tertangkap;

5.  Yang salahnya ialah apabila kita menjawat jawatan awam dan mana-mana jawatan lain yang penting, kita akan diperhatikan luar dan dalam.  Lebih-lebih lagi di dalam dunia serba moden sekarang ini - segala maklumat berada dihujung jari kita sahaja;

6.  Sebagaimana mudahnya kita membeli ijazah atau lain-lain kelayakan, semudah itu jugalah maklumat berkaitan dengan seseorang individu itu diperolehi;

7.  Sehubungan dengan ini adalah menjadi tanggungjawab moral sesiapa sahaja yang menjawat jawatan awam atau mana-mana jawatan penting untuk bertanggungjawab dengan apa juga yang berkaitan dengan diri mereka;

8.  Jangan menipu.  Kalau setakat SPM sahaja - akui.  Jangan malu.  Malahan akan nampak lebih wibawa apabila kita berkata benar;

9.  Kepada pihak yang membuat perlantikan pula - pastikan siasatan menyeluruh dibuat untuk memastikan latarbelakang mana-mana individu yang hendak dilantik ke jawatan penting adalah bebas daripada sebarang kontroversi;

10.  Adalah sukar untuk kita meletakkan kewibawaan kepada mereka yang dilantik sekiranya orang bawahan lebih pandai daripada orang yang dilantik untuk menjadi ketua;

11.  Lebih sukar lagi sekiranya perkara berkaitan dengan "penipuan" kelayakan ini diketahui;

12.  Oleh itu mereka yang melantik dan juga pegawai-pegawai yang menjadi penasihat - sila buat homework anda.

Wednesday, June 05, 2013

Ambil Tindakan Segera

 
 1.  Semakin hari semakin berleluasa mereka yang menggunakan alam siber untuk mengutuk dan menghina orang lain seolah-olah kita kini sudah tidak ada panduan lagi di dalam kehidupan;
 
2.  Saban hari kita membaca pelbagai catatan di alam siber khususnya di dalam blog-blog dan juga laman sosial seperti Facebook berkaitan dengan ketidak puasan hati masing-masing;
 
3.  Catatan berkaitan dengan politik sememangnya semakin hari semakin teruk.  Cercaan dan penghinaan terhadap mana-mana individu yang bukan seacuan dengan mereka kini adalah makanan harian di dalam blog dan juga laman-laman sosial ini;
 
4.  Keadaan ini semakin teruk apabila ada mereka yang menggunakan alam maya untuk menghina pemimpin-pemimpin agama termasuk Nabi Muhammad (SWT) dan juga agama Islam sendiri;
 
5.  Catatan terkini (seperti di dalam gambar) ialah oleh seorang yang berbangsa mengunakan nama Calvin Gani (atau mungkin individu yang menyamar) yang menghina Nabi Muhammad (SWT) dan juga agama Islam pada tahap yang sungguh durjana;
 
6.  Individu ini (Callvin Gani) bukan sahaja mengatakan Islam itu kafir dan sial, tetapi menuduh junjungan besar Islam, Nabi Muhammad (SWT) melakukan sex dengan pelacur;
 
7.  Ini adalah satu catatan yang tidak boleh diterima terhadap junjungan besar Nabi Muhammad (SWT) dan juga Islam;
 
8.  Jelas, individu ini menyalah gunakan laman sosial untuk menabur fitnah durjana tanpa menggunakan akal fikiran dan boleh menimbulkan kekeliruan;
 
9.  Tindakan segera hendaklah diambil oleh pihak berkuasa supaya ianya tidak berulang lagi.

Thursday, May 30, 2013

Bahasa Kebangsaan: Bahasa Malaysia

1.  C-bOk sedikit terganggu dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong-Zong) yang mempersoalkan perlantikan dua menteri Kabinet daripada kaum Cina iaitu Senator Datuk Paul Low Seng Kwan dan Datuk Mary Yap Kain Ching atas alasan kedua-dua mereka tidak fasih berbahasa Mandarin.

2.  Atas alasan ini, Dong Zong berpendapat kedua-dua mereka tidak dapat mewakili kaum Cina dengan efektif kerana tidak fasih berbahasa Mandarin.  Dong Zong berkata kedua-dua mereka hanya menamatkan sekolah Cina separuh jalan sahaja.

3.  Untuk rekod, Datuk Paul Low dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala Datuk Mary Yap pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan 1 di dalam kabinet pasca PRU13.

4.  Apa yang C-bOk rasa terganggu ialah, keperluan untuk fasih di dalam bahasa Mandarin dijadikan syarat oleh Dong Zong sebelum seseorang dilantik ke dalam Kabinet.  Sejak bila perkara ini perlu dijadikan syarat?

5.  Bahasa Kebangsaan di negara ini ialah Bahasa Malaysia dan ianya sudah termaktub di dalam perlembagaan.  Adalah menjadi syarat dan kebanggaan kepada rakyat negara ini untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

6.  Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk memahami dan menguasai Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama dan bukannya bahasa Mandarin. 

7.  Jadi, sekiranya Dong Zong merasakan mereka adalah rakyat yang bertanggungjawab, maka perkara ini tidak sewajarnya timbul.

8.  Dong Zong perlu keluar daripada kepompong ciptaan mereka sendiri dan tidak mempersoalkan perkara yang sudah menjadi asas perlembagaan negara bernama Malaysia ini.

Thursday, May 23, 2013

Tangkap di Bawah Akta Hasutan

1.  Berdasarkan kepada laporan media dan juga blog-blog tempatan, beberapa orang lagi tokoh pemimpin pembangkang telah ditangkap hari ini;

2.  Mereka yang ditangkap adalah YB Tian Chua, aktivis Harris Ibrahim dan seorang ahli PAS Tamrin Ghafar;

3.  Kesemua mereka ditangkap di bawah Akta Hasutan;

4.  Tindakan tegas Ketua Polis Negara dan PDRM sememangya diharap-harapkan oleh rakyat yang cintakan keamanan;

5.  Adalah diharapkan tindakan ini tidak dilihat sebagai tindakan politik, tetapi tindakan yang perlu diambil oleh pihak PDRM sebagai sebuah agensi yang profesional di dalam menjaga hak rakyat di bawah negara demokrasi;

6.  Pihak-pihak yang ditangkap juga tidak perlu gusar kerana undang-undang kita telus.  Sekiranya anda tidak bersalah - mahkamah akan membebaskan anda;

7.  Sekiranya takut dilambung ombak, jangan duduk di tepi pantai.

Minyak RON 97 Turun 20 Sen

1.  Harga minyak RON 97 turun sebanyak 20 sen di seluruh negara berkuatkuasa malam tadi;

2.  Dengan penurunan ini, harga minyak RON 97 adalah RM2.70 seliter berbanding dengan RM2.90 sebelum ini;

3.  Penurunan ini menunjukkan bahawa harga minyak boleh berubah-ubah mengikut harga pasaran dari semasa ke semasa.  Apabila harga pasaran menurun, Kerajaan boleh menurunkan harganya untuk kemudahan rakyat.  Begitu juga sebaliknya, apabila harga pasara menaik - Kerajaan perlu menaikkan harga supaya tidak mendatangkan kerugian kepada peruncit da juga Kerajaan (yang menyediakan subsidi);

4.  Ianya juga menunjukkan bahawa penurunan harga minyak boleh berlaku tanpa mengubah Kerajaan di Malaysia dan tidak sepertimana yang diwar-warkan semasa PRU ke 13 baru-baru ini di mana penurunan harga minyak hanya boleh berlaku apabila rakyat menukar Kerajaan sahaja;

5.  Kerajaan BN pula hendaklah mengambil kesempatan ini untuk mewar-warkan kepada rakyat berita baik ini;

6.  Adalah malang apabila media-media utama (termasuk milik Kerajaan) tidak menjadikan berita baik ini sebagai berita utama.  Sedangkan apabila minyak naik - sudah pasti ianya menjadi berita utama semua media (termasuklah media yang pro-Kerajaan);

Keputusan PRU 13 Di Wartakan Secara Rasmi

1.  SPR telah dengan secara rasminya mewartakan keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) pada 22 May 2013 (semalam);

2.  Selaras dengan pengwartaan ini, semua calun dan parti-parti yang bertanding kini mempunyai tempoh selama 14 hari untuk mengemukakan petisyen bagi mencabar keputusan PRU13 berkenaan;

3.  Ini adalah selaras dengan Peraturan 27 - Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981;

4.  Sehubungan dengan ini C-bOk berharap mana-mana pihak yang tidak berpuashati akan mengambil kesempatan yang termaktub di dalam undang-undang untuk mengemukakan petisyen secara profesional dan beradab di dalam mencabar mana-mana keputusan yang mereka tidak berpuashati;

5.  Cara ini bukan sahaja dibenarkan oleh undang-undang, tetapi mekanismanya juga telah disediakan di mana pihak-pihak yang tidak berpuashati boleh mencabar keputusan-keputusan yang diragui melalui saluran yang diiktiraf oleh undang-undang;

6.  Ini pastinya lebih baik daripada membuat tuduhan-tuduhan melulu dan perhimpunan di jalanan yang menaikkan kemarahan tetapi tidak mampu mengubah apa-apa keputusan melainkan meningkatkan kemarahan politik yang boleh menjerumuskan negara ke lembah kucar-kacir;

7.  C-bOk berharap semua pihak akan bertindak profesional dan waras sejajar dengan undang-undang negara ini yang telah termaktub sejak sekian lama. 

Wednesday, May 22, 2013

Kekalkan Malaysia Sebagai Pilihan Utama Para Pelabur

1.  Malaysia terus kekal sebagai pilihan utama para pelabur di rantau ini sebagaimana di lapurkan di sini.  Kenyataan berkaitan dengan perkara ini dibuat oleh UBS Investment Bank yang melihat pretasi ekonomi Malaysia terus kekal kukuh di sebalik ketidak tentuan global;

2.  UBS meramalkan "bahawa pelabur asing akan terus melabur di negara ini khususnya di dalam sektor minyak dan gas";

3.  Keadaan ini dijangka berlaku berikutan dengan prospek cerah ekonomi negara khususnya di dalam pelbagai aktiviti pembinaan infrastruktur yang sedang rancak dilaksanakan oleh Kerajaan seperti projek pembangunan Aliran Transit Massa (MRT) di Lembah Kelang dan juga pelbagai aktiviti ekonomi yang dirancang dan sedang dilaksanakan di koridor-koridor pembangunan seluruh negara;

4.  C-bOk melihat pengiktirafan oleh UBS Investment Bank sebagai perakuan positif terhadap polisi ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan.  Rancangan transformasi ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui pemantauan berterusan oleh PEMANDU jelas telah memberi kesan positif kepada kedudukan negara di mata para pelabur;

5.  Kenyataan oleh UBS Investment Bank tidak dapat tidak akan mempengaruhi syarikat-syarikat besar dari seluruh dunia yang sedang meninjau di rantau ini untuk mencari lokasi pelaburan baru mereka;

6.  Adalah menjadi jihad kepada semua di dalam negara untuk terus mengekalkan kedudukan yang positif ini bagi menjamin Malaysia terus menjadi lokasi pilihan kepada pelabur-pelabur ini;

7.  Jangan dibiarkan kedudukan positif negara tergugat akibat daripada ketidak tentuan khususnya dari kekacauan politik.

Wednesday, May 15, 2013

Tahniah Kepada Barisan Kabinet Baru

1.  YAB Perdana Menteri telah pun mengumumkan senarai Barisan Kabinet baru pasca PRU13;

2.  Tahniah diucapkan kepada semua yang dilantik.  Ini bukanlah lantikan untuk bersukaria tetapi lantikan kepada satu tanggungjawab yang berat untuk menguruskan negara;

3.  Jelas, sesuai dengan permintaan MCA (ataupun sememangnya PM tidak berminat lagi), wakil MCA tidak dilantik di dalam kabinet;

4.  Banyak muka baru serta profesional dilantik di dalam barisan baru ini;

5.  Yang menarik - pertukaran portfolio di antara Hishamuddin (Pertahanan) dan Zahid Hamidi (Keselamatan Dalam Negeri).  Semoga Zahid akan membawa "ketegasan" ke Kementerian KDN yang amat-amat diperlukan sekarang ini;

6.  Marilah kita doakan barisan baru ini akan membawa imej tegas dan berkesan di dalam semua yang akan dilaksanakan.

7.  Insya Allah.

Tuesday, May 14, 2013

Kabinet Baru: Menteri KDN

1.  Rata-rata di dalam pelbagai blog dan catatatan FB yang C-bOk baca membuat pelbagai ramalan tentang kabinet baru YAB Perdana Menteri yang dijangka akan diumumkan dalam sehari dua ini;

2.  Setiap blogger/penulis memberikan pelbagai pandangan dan ramalan tentang siapa yang patut dilantik, siapa yang patut digugurkan dan siapa yang patut dikekalkan.  Nama pelbagai tokoh disebut-sebut mengikut kesesuaian pada pandangan penulis itu sendiri;

3.  C-bOk melihat ada konsensus di kalangan penulis maya yang mereka tidak mahukan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn kekal sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN);

4.  Mereka mahukan seorang yang lebih tegas untuk memimpin Kementerian KDN, sesuai dengan perkembangan semasa pasca PRU13;

5.  Malaysia, khususnya pasca penghapusan ISA dan Akta Buang Daerah (atas desakan parti-parti politik - kerana mahukan populariti) sudah berubah.  Rakyat rata-rata kini semakin berani bersuara menyatakan pandangan mereka;

6.  Lantaran ini wujud satu suara mendesak yang keterlaluan sehingga kata-kata cacian menjadi makanan seharian khususnya di kalangan tokoh politik dan pemimpin-pemimpin NGO yang berpihak.  Pandangan-pandangan yang dikemukakan kadang-kadang jelas menjerumus kepada hasutan sehingga mewujudkan gerakan yang boleh menggugat keharmonian negara;

7.  Pada pandangan banyak pihak, ini terjadi kerana kelemahan Menteri bertanggungjawab di KDN.  Kebetulan, Dato' Seri Hishamuddin Tun hussein Onn adalah menteri bertanggungjawab sebelum PRU13 selaras dengan kedudukannmya sebagai Naib Presiden UMNO - satu kementerian penting yang biasanya diberikan kepada tokoh-tokoh kanan di dalam UMNO;

8.  Namun, suasana semasa memerlukan seorang yang tegas untuk memimpin KDN.  Negara tidak memerlukan seseorang yang terlalu berlembut untuk menjadi Menteri di sebuah Kementerian yang memerlukan ketegasan;

9.  Musuh negara dan mereka yang suka membuat kacau perlu diingatkan bahawa KDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan untuk menjamin keselamatan negara yang mengatasi mana-mana kepentngan individu.  Ini hanya boleh berlaku apabila "tindakan diambil" bukannya sekadar "mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbentuk amaran" yang kini menjadi gurauan satu Malaysia;

10.  C-bOk yakin, YAB Perdana Menteri faham perkara ini!