Monday, February 25, 2008

BN Menang 6 Kerusi Parlimen, Dua Kerusi Negeri Tanpa Bertanding

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) — Barisan Nasional (BN) mendahului parti-parti lain pada Pilihan Raya Umum kali ini apabila memenangi enam daripada 22 kerusi Parlimen dan dua daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tanpa bertanding selepas proses penamaan calon selesai hari ini.

Pembangkang memenangi satu kerusi negeri menerusi calon PAS, Wan Ubaidah Omar bagi kerusi DUN Kijang, Kelantan, tanpa bertanding apabila pencalonan wakil BN, Mustopha Ahmed ditolak kerana beliau muflis.

Pada pilihan raya umum 2004, BN menang 17 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN tanpa bertanding manakala PAS menang tanpa bertanding kerusi DUN Senggarang di Johor.
Berdasarkan perkembangan ini, Pilihan Raya Umum 8 Mac ini bakal menyaksikan pertanding di 216 kerusi Parlimen dan 502 kerusi DUN.

BN menang di kawasan Parlimen Selangau, Kapit, Kanowit dan Tanjung Manis, kesemuanya di Sarawak, dan Kalabakan di Sabah serta Pengerang di Johor.

Calon-calon berkenaan ialah Joseph Entulu Belaun (Selangau), Alexander Nanta Linggi (Kapit), Aaron Ago Dagang (Kanowit), Norah Tun Rahman (Tanjung Manis), Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh (Kalabakan) dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), yang juga menang kerusi itu tanpa bertanding pada 2004.

Pakatan 14 parti itu menang tanpa bertanding di kerusi DUN Bugaya di Sabah (Datuk Ramli Marahaban) dan Sementa di Selangor (Datuk Abdul Rahman Palil).
– BERNAMA

Monday, February 18, 2008

7 Menteri Tidak Bertanding?

Laporan The Star menyatakan tujuh (7) orang Menteri tidak akan bertanding di dalam PRU ke 12 ini. Yang pastinya Datuk Seri Lim Keng Yaik dan Datuk Seri Effendi Norwawi telah pun menyatakan hasrat mereka untuk bersara. Siapa lagi baki lima (5) orang Menteri tersebut? Pasti ramai Menteri yang merasa gusar dengan laporan ini.

Thursday, February 14, 2008

Hari Penamaan Calun dan Mengundi

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang bermesyuarat hari ini telah mengumumkan bahawa hari-hari penting PRU ke 12 ini adalah seperti berikut:

Penamaan Calun: 24 Februari 2008 (Ahad)
Mengundi: 8 March 2008 (Sabtu)

Wednesday, February 13, 2008

PRU ke 12: Rakyat Perlu Bijak

Parlimen telah dibubarkan. Kini kita tidak lagi berteka-teki bilakah tarikh keramat berkenaan akan diumumkan. Sekiranya dahulu asalkan buka mulut sahaja kita akan bertanya tentang tarikh tersebut, kini, atau setidak-tidaknya beberapa hari yang akan datang, pasti kita akan bercerita tentang siapa yang akan jadi calon dan di mana.

Calon kepimpinan datang dan pergi, namun hanya beberapa calon yang menjadi tumpuan ramai. Salah seorang daripadanya ialah Khairy Jamaludin (KJ), menantu kepada Perdana Menteri. Soal kelayakan bukannya isu, tetapi hubungan istimewa beliau menyebabkan beliau lebih popular daripada politikus veteran. Jadi calon salah, tak jadi calon pun salah.

Apa-apa pun, yang penting sekarang ialah bukan individu. Faktor utama ialah masa hadapan kita dan anak-anak kita. Keputusan perlulah kita buat dengan bijak. Jangan memilih kerana kita sukakan calon atau parti berkenaan. Kita perlu memilih berdasarkan kepada keupayaan parti dan calon berkenaan membawa perubahan dan kesejahteraan kepada kita. Calon dan parti mestilah memandang jauh ke hadapan. Mengutamakan negara dan meletakkan kepentingan diri sendiri di tahap paling belakang.

Semoga kita akan mendapat calon dan parti impian kita di PRU ke 12 ini. Pilihlah dengan bijak.

Sebenarnya Hari Ini

Selepas berteka-teki dan mengatakan "Parlimen tidak akan dibubarkan hari ini", Pak Lah mengumumkan yang Parlimen dibubarkan dalam satu sidang akhbar yang diadakan di pejabat beliau sebentar tadi.

Kejap ya, kejap tidak.

Apa-apa pun, selamat berkempen kepada calon-calon pilihanraya dan selamat mengundi kepada semua rakyat.

Bukan Hari Ini!

_________________________________________________________________

Berita Terkini:

Perdana Menteri telah membubarkan Parlimen dalam satu sidang akhbar yang dibuat oleh beliau sebentar tadi. 13.2.2008 / 12.39 tengahari....
_________________________________________________________________

Ramalan meleset. Ramai yang meramalkan Pak Lah akan membubarkan Parlimen hari ini (13 Februari 2008) sempena dengan nombor kegemaran beliau iaitu 13. Kalau C-bOk jadi Pak Lah pun, C-bOk tidak akan membubarkan Parlimen hari ini. Too predictable!

Tetapi petunjuk begitu banyak. Cuti sekolah dah dekat. Cuti Polis dibekukan. SPR dah sedia. Poster dan bendera dah naik. Malahan ada "calon" yang sudah naik bunting dan banner. Siap dengan gambar dan juga kawasan pertandingan mereka. Pak Lah pun makin romantik. Mungkinkah Parlimen dibubarkan esok (14 Februari 2008) sempena hari Valentine's Day?

Naahh..., to predictable...

Monday, February 11, 2008

Tan Sri Koh Tsu Koon

Tan Sri Koh Tsu Koon memang berani!

Beliau adalah satu-satunya pemimpin dari Barisan Nasional setakat ini yang telah dengan jelas menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen dan seterusnya berpindah ke Kuala Lumpur/Persekutuan. Kenyataan beliau itu mendahului Perdana Menteri dan juga berlawanan dengan kenyataan bekas Presiden Gerakan yang kini Penasihat parti berkenaan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik yang mahukan beliau terus menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Apabila beliau menyatakan "Persekutuan" dan perbincangan beliau dengan Perdana Menteri adakah secara tidak langsung beliau turut menyatakan hasrat untuk menjadi Menteri juga?

Dari segi kelayakan sememangnya beliau layak untuk menjawat jawatan Menteri memandangkan beliau adalah pemimpin salah sebuah parti gabungan di dalam pakatan Barisan Nasional. Beliau juga menunjukkan kaliber sebagai pemimpin parti dan negeri yang pelbagai kaum. Namun, keputusan akhir adalah terletak di tangan Perdana Menteri sebagai ketua pakatan berkenaan.

Cuma C-bOk rasa agak celaru dengan kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan seolah-olah Tan Sri Koh Tsu Koon tidak pandai membuat keputusan apabila beliau membuat kenyataan berikut:

"Jangan risau, kalau dia tak boleh buat keputusan, biar saya buat keputusan"

Sunday, February 10, 2008

HTC Shift

C-bOk adalah seorang peminat gadget. Apabila ada sahaja gadget yang baru di pasarkan, selalunya C-bOk akan turut sibuk melihat produk tersebut di pasaran. Selalunya Kompleks Lau Yat di Bukit Bintanglah yang menjadi destinasi C-bOk.

Namun tak pernah C-bOk menulis di blog ini berkaitan dengan gadget-gadget tersebut. Berbeza dengan gadget terbaru yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat elektronik terkenal dari Taiwan - HTC. Syarikat ini terkenal dengan produk-produk yang sudah popular di mlaysia seperti O2 dan juga Dopod. C-bOk sendiri menggunakan O2 Atom - sebuah PDA yang begitu berkuasa untuk menguruskan aktiviti seharian.

Kini HTC memperkenalkan sebuah lagi produk yang begitu berkuasa yang dijangka akan berada di pasaran pada bila-bila masa sahaja dalam bulan Februari ini iaitu HTC Shift. Daripada penelitian C-bOk di laman-laman web yang telah menggunapakai (test drive) produk ini, ternyata ianya adalah PDA yang begitu berkuasa. Antara kelebihannya ialah:
  • Windows Vista Business
  • Outlook email
  • 7-inch touch screen
  • 3G dengan keupayaan HSDPA
  • Bluetooh dan Wi-Fi
  • USB 2.0
  • SIM card slot

Melihat kepada keupayaan di atas, pengguna boleh mengakses email dan juga internet pada bila-bila masa di mana sahaja tanpa perlu mencari lokasi hotspot. Asalkan ada capaian kepada rangkaian telefon (GSM, GPRS, EDGE) kita sudah boleh merayau laman web. Menyemak email juga kini boleh dilakukan di mana-mana sahaja dengan kemudahan Direct Push Outlook Email. begitu juga untuk membuat kerja-kerja pejabat melalui Windows Vista business. Pastinya gadget ini akan popular di kalangan penggemar-penggemar gadget khususnya yang perlu sentiasa berada "dekat" dengan maklumat.

Maklumat lanjut berkaitan dengan HTC Shift boleh diperolehi di sini.

Wednesday, February 06, 2008

Selamat Tahun Baru Cina

C-bOk ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut tahun baru cina kepada semua rakan-rakan berbangsa cina. Semoga tahun baru ini akan membawa keamanan dan kesejahteraan kepada kita semua.

Kepada rakan-rakan lain yang akan bercuti panjang sempena dengan sambutan tahun baru cina ini, C-bOk ingin mengucapkan selamat bercuti dan memandulah dengan cermat serta sentiasa berhati-hati di jalanraya.

Friday, February 01, 2008

Selamat Menyambut Hari Wilayah 2008

Kepada semua penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan. Sejak kemerdekaan negara, Malaysia semakin maju. Banyak kejayaan yang telah kita capai. Salah satu daripadanya ialah kewujudan bandaraya metropolitan Kuala Lumpur dan juga kerancakan pembangunan di Putrajaya dan Labuan.

Sewajarnya kita bersyukur dengan kemajuan dan kemakmuran yang telah kita capai. Pastinya kejayaan ini adalah atas usaha kita semua sebagai warga dan tenaga penggerak kota. Pertahankan kejayaan ini.

Selamat bercuti kepada semua warga Wilayah Persekutuan dan tahniah kepada mereka yang mendapat anugerah sempena dengan sambutan ini.