Monday, May 13, 2013

Memajukan Negeri Sembilan

1.  Alhamdulillah, Barisan Nasional masih lagi menjadi pilihan rakyat Negeri Sembilan dan mengekalkan kepimpinan BN negeri untuk menerajui Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun lagi;

2.  Syukur juga ke hadrat Allah SWT, kerana YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan sekali lagi terpilih untuk menerajui Kerajaan negeri setelah diperkenankan oleh DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, walaupun ramai yang menjangkakan seorang MB baru akan dilantik;

3.  Kesinambungan kepimpinan negeri ini yang pada satu ketika dimomokkkan bakal dikalahkan oleh Pakatan Rakyat, sewajarnya membuka mata semua yang terlibat.  Jelas, ini bukanlah masa untuk bersuka ria.  Sekarang ialah masa untuk bekerja.  Jangan berlengah lagi;

4.  Langkah pertama YAB Menteri Besar ialah melantik dengan seberapa segera barisan EXCO yang akan bersama-sama dengan Menteri Besar bagi memacu pentadbiran negeri.  Pasukan yang berkerja.  Pastinya YAB sendiri tahu bahawa keputusan PRU13 memberi isyarat yang jelas bahawa BN umpama telur dihujung tanduk.  Bila-bila masa sahaja akan terkubur sekiranya tiada langkah proaktif diambil untuk memperbaiki pendekatan BN di dalam mentadbir Kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat;

5.  Pilihlah barisan EXCO yang agresif.  Pasukan yang bersedia untuk berkerja dan memacu daya ekonomi Negeri Sembilan ke paras yang lebih baik lagi;

6.  Seterusnya, rancanglah projek-projek yang boleh membawa perubahan kepada Negeri Sembilan;

7.  Tidak perlu diingatkan, pasti YAB pun tahu bahawa Negeri Sembilan agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri jiran seperti Selangor, Pahang dan Melaka.  Negeri Sembilan juga tidak termasuk di dalam mana-mana rancangan pembangunan korridor - ini menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri yang terpaksa merancang sendiri projek-projek pembangunannya;

8.  Negeri Sembilan terletak di tengah-tengah perjalanan bagi mereka yang berualng-alik di antara Kuala Lumpur (Lembah Kelang) ke Melaka dan Johor.  Saban waktu, khususnya dihujung minggu kita akan melihat ratusan ribu kereta akan melalui lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban untuk ke Melaka dan Johor;

9.  Malangnya mereka ini hanyalah lalu sahaja di Negeri Sembilan tanpa singgah.  Tumpuan mereka adalah ke Melaka dan Johor.  Mereka yang lalu hanyalah meninggalkan asap pencemaran sahaja di sepanjang lebuhraya di dalam Negeri Sembilan.  Sesuatu perlulah difikirkan supaya mereka ini menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Sembilan;

10.  Dengan kekalnya Selangor di tangan Pakatan Rakyat, Negeri Sembilan sebenarnya berada dalam kedudukan yang terbaik untuk memposisikan Negeri ini di mata Kerajaan Pusat sebagai ganti kepada Selangor;

11.  Negeri Sembilan perlu mengkaji semua Aku Janji Kerajaan Pusat yang dibuat khusus untuk Selangor dan rundingkanlah agar janji-janji itu dibawa ke Negeri Sembilan. Antaranya cadangan untuk membina MRSM serta mewujudkan hab logistik antarabangsa di segitiga Sepang, Kota Raja dan Port Klang;

12.  Apakata, YAB Menteri Besar berunding dengan Kerajaan Pusat (Perdana Menteri) untuk membawa semua projek yang dijanjikan di dalam Aku Janji khas Selangor ke Negeri Sembilan?  Apa kurangnya Negeri Sembilan ini?  KLIA itu terletak bersempadan dengan Negeri Sembilan.  Seremban juga tidak jauh dengan Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga KLIA;

13.  Negeri Sembilan juga mempunyai tanah yang banyak khususnya di sepanjang Lebuhraya Seremban - Kuala Lumpur (PLUS) serta LEKAS yang boleh dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baru industri;

14.  Mana-mana pelaburan baru yang sedang mencari kawasan di Lembah Kelang/Selangor - berikan mereka alternatif untuk memindahkan pelaburan-pelaburan yang dirancangkan itu ke Negeri Sembilan;

15.  Namun, Kerajaan Negeri perlulah membuat persediaan khususnya dari segi menyediakan pasukan EXCO yang agresif serta pasukan kerja yang dahagakan kemajuan untuk Negeri Sembilan.

No comments: